AYER KEROH: Seorang pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan menawarkankontrak membekal beras yang tidak wujud membabitkan kerugian RM100,000, dua tahun lalu.

Ng Ngui Kee, 44, dari Kuching, Sarawak membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Lee Kim Keat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menawarkan kontrak membekalkan beras yang tidak wujud kepada Ng Choon Wee, 54, sehingga mangsa menyerahkan wang tunai RM100,000 di Public Bank Jalan Ong Kim Wee, pada 30 Jun 2016.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara antara setahun hingga 10 tahun dan dengan sebatan serta boleh didenda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria yang melakukan pendakwaan menawarkan jaminan RM50,000 dengan dua penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dikenakan dengan alasan perlu menanggung isteri, dua anak dan ibu bapa yang uzur.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berhampiran dan menetapkan 14 Mei untuk tarikh sebutan semula kes serta lantikan peguam – berita harian