ALOR SETAR: Seorang lelaki yang didakwa memperdayakan bakal jemaah umrah yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 24 Januari lalu, kini diburu polis bagi membantu siasatan.

Individu terbabit yang membuka cawangan syarikat agensi umrah di Sungai Petani dicari susulan enam laporan polis dibuat mangsa yang tertipu selepas terkandas di KLIA.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Chan Teck Paing, berkata pihaknya masih mengesan suspek yang dipercayai sudah tidak berada di negeri ini bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, setakat ini jumlah laporan polis dari Sungai Petani masih kekal enam dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan seramai 15 bakal jemaah umrah terkandas di KLIA, Sepang pada bulan lalu.

Jemaah terbabit tiba di KLIA dari Perak, Kedah dan Pulau Pinang selepas dimaklumkan akan berlepas jam 7 malam menaiki pesawat Emirates Airline, namun hampa selepas nama mereka tiada dalam senarai penumpang.

Difahamkan, pakej ditawarkan antara RM7,000 hingga RM8,000 untuk seorang, selain pakej umrah membabitkan beberapa keluarga.

Selain itu, syarikat agensi umrah di Bandar Utama, Sungai Petani itu juga sudah tidak beroperasi sejak pertengahan tahun lalu.-berita harian