KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga tempatan yang menunggang motosikal dengan aksi berbahaya menggunakan kaki bagi mengawal handel jentera itu, di Jalan Kuching di sini, baru-baru ini, direman hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata suspek berumur 36 tahun itu menyerah diri di Balai Polis Trafik Jalan Bandar, di sini, semalam.

Beliau berkata suspek juga disahkan positif dadah jenis ganja.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya ringkas kepada Bernama.

Semalam, BERNAMA melaporkan polis sedang menjejaki seorang lelaki yang aksinya menunggang motosikal secara berbahaya selain bungkusan air di tangannya itu, menjadi tular di media sosial menerusi satu video berdurasi 41 saat. – BERNAMA