TELUK INTAN: Lelaki warga emas dikhuatiri lemas di kunci air Headwork Parit 12 dekat sini, lewat petang tadi.

Mangsa dikenali sebagai Woo Poh Meng, 69, yang beralamat di Rumah Murah, Padang Tembak di sini dipercayai hilang di kunci air tersebut berdasarkan penemuan barang peribadinya.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak pada Isnin, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.33 malam.

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan bergegas ke lokasi kejadian dan dimaklumkan oleh pihak polis kemungkinan mangsa hilang di kunci air dengan penemuan beberapa barang peribadi.

“Kerja mencari dan menyelamat dengan cara pencarian di permukaan sedang dijalankan di kawasan tersebut,” katanya.

Ujarnya lagi, operasi itu turut membabitkan pihak polis dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).