TELUK INTAN: Seorang lelaki warga emas berusia 78 tahun rentung dalam kebakaran dua buah rumah di Jalan Selat, dekat sini pada awal pagi Isnin.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Tan Ah Lang @ Tan Ah Leng ditemukan di atas katil bahagian tengah rumahnya pada jam 6.30 pagi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.42 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan bergegas ke lokasi.

Di samping mendapat bantuan dari anggota BBP Hutan Melintang dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian mendapati kebakaran melibatkan dua buah rumah, sebuah rumah berkeluasan 30×25 kaki terbakar 90 peratus.

“Manakala sebuah rumah dua tingkat berkeluasan 20×70 kaki terbakar 10 peratus.

“Seorang lelaki berusia maut dalam kebakaran itu, mangsa dijumpai di atas katil di bahagian tengah rumah tersebut.

Dipercayai warga emas itu juga dikatakan kurang sihat,”katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya lagi, sehingga kini operasi pemadaman masih berjalan.