PETALING JAYA: Seorang lelaki warga Uganda dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan kerana memiliki dadah jenis heroin dan morfin, dua tahun lalu.

Hakim Azwarnida Affandi, menjatuhkan hukuman itu ke atas Ibrahim Wamala, 37, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah Sesyen memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 2 September 2016.

Mengikut pertuduhan, Ibrahim memiliki 6.85 gram dadah jenis heroin dan morfin, di tempat letak kereta Kondo Ridzuan, Sg Way, di sini, pada 10 malam, 2 September 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara seumur hidup atau untuk suatu tempoh tidak kurang lima tahun dan minimum 10 sebatan.

Mengikut fakta kes, sepasukan anggota polis yang membuat risikan menemui tertuduh bersama dadah di tempat letak kereta kondominiumnya.

Tertuduh mencampakkan dua plastik disyaki dadah selepas melihat anggota polis mendekatinya.

Pemeriksaan di rumah sewanya, tidak menemui barang salah.

Ketika rayuan, tertuduh yang diwakili peguam Richard Ho, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah lampau, selain jumlah dadah yang sedikit.

Timbalan Pendakwa Raya Norazalina Razali memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama – berita harian