LELAKI lemas ketika mandi bersama tiga rakannya di Sungai Kampung Bil dekat Slim River, semalam.

Dalam kejadian 6 petang itu, mangsa, Aidil Akasah Mohd Yusof, 23, dikatakan hanyut dibawa arus deras dan tidak dapat diselamatkan rakan ketika mandi di sungai itu.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, ketika kejadian mangsa dipercayai datang ke kawasan perkelahan itu bersama beberapa rakannya.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya mandi bersama tiga rakannya dan tiba-tiba arus sungai naik mendadak dan menghayutkan mangsa.

“Tiga rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri ketika kejadian itu bagaimanapun mangsa gagal ditemui sehingga operasi mencari dan menyelamt dijalankan.

“Mangsa ditemui pasukan keselamatan pada 8.55 malam kira-kira 200 meter dari lokasi dilaporkan hanyut,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, mangsa disahkan mati di tempat kejadian oleh sepasukan petugas perubatan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak berkata, anggota bomba terpaksa menggunakan tali untuk menaikkan mayat mangsa ke tebing sungai sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan(PBK) 1, Zaini Saleh.

-myMetro