KUALA LUMPUR: Tiada kesilapan soalan bagi kertas peperiksaan Biologi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), demikian menurut Lembaga Peperiksaan.

Dalam kenyataan hari ini, Lembaga Peperiksaan menafikan laporan mengenai kesilapan soalan bagi mata pelajaran itu.

“Perkara berkaitan salasilah keluarga yang dikemukakan adalah terkandung dalam kurikulum dan buku teks Biologi Tingkatan Lima.

“Bagi soalan berkenaan, calon dikehendaki membuat ramalan berdasarkan rajah salasilah keluarga yang diberikan,” menurut kenyataan itu.

Menerusi kenyataan itu juga, Lembaga Peperiksaan melahirkan kekesalan terhadap masalah yang berlaku membabitkan kertas peperiksaan Braille (kertas peperiksaan khusus bagi calon cacat penglihatan) SPM 2018.

“Masalah itu berkemungkinan memberi kesan terhadap kefahaman dan jawapan calon. Lembaga Peperiksaan akan memastikan keadilan kepada calon adalah terjamin dengan memberikan pertimbangan yang sewajarnya terhadap pemeriksaan skrip jawapan peperiksaan,” katanya.

Justeru, Lembaga Peperiksaan akan memastikan masalah seumpama itu tidak akan berulang pada masa hadapan. – BERNAMA