KUALA LUMPUR : Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan tiga lantikan baharu pengurusan kanan institusi itu dalam usaha mengukuhkan lagi pentadbiran kewangan dan pelaburannya.

Dalam satu kenyataan, TH berkata Datuk Merina Abu Tahir dilantik sebagai Ketua Pegawai Kewangan berkuat kuasa pada 5 Februari sementara Mohamad Damshal Awang Damit sebagai Ketua Pegawai Pelaburan dan Muhammad Fawwaz Aminuddin sebagai Pengurus Besar Pelaburan Strategik masing-masing pada 20 Januari dan 11 Februari lalu.

Merina merupakan Akauntan Bertauliah Institut Akauntan Malaysia (MIA), Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA), Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA), Akauntan Profesional Bertauliah ASEAN (ASEAN CPA) dan Institut Juruaudit Dalaman Malaysia (IIAM).

“Merina mempunyai pengalaman lebih daripada 30 tahun bekerja di pelbagai syarikat tempatan dan antarabangsa termasuk multinasional, institusi kewangan dan amalan audit serta berpengalaman luas dalam pengurusan umum, kewangan, komersial, pembangunan perniagaan, dan audit dalaman serta luaran.

“Selain pernah dilantik sebagai ahli Majlis MIA pada Disember 2016 hingga November 2019, beliau juga merupakan mantan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat ACCA Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Mohamad Damshal pula lulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari University of Toledo, Ohio, Amerika Syarikat dan pemegang charter sebagai Penganalisis Kewangan Bertauliah (CFA).

Sebelum menyertai semula TH, Mohamad Damshal merupakan Ketua Pelaburan Ekuiti dan Pendapatan Tetap di Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Malaysia.

Beliau mempunyai pengalaman kerja lebih daripada 26 tahun dalam bidang seperti pengurusan pelaburan domestik dan luar negara, analisa kredit serta kawal selia risiko termasuk pernah bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di syarikat dana pelaburan komersial.

Selain itu, beliau pernah berkhidmat di TH dari 1999 sehingga 2003 di bahagian perancangan korporat dan pernah mengetuai pengurusan portfolio pelaburan pendapatan tetap.

Sementara itu, Muhammad Fawwaz pula adalah pemegang CFA dari CFA Institute dan Akauntan Bertauliah (ACA) Institute of Chartered Accountants di England & Wales (ICAEW), dilantik sebagai Pengurus Besar Pelaburan Strategik bagi meningkatkan potensi pelaburan aset strategik TH.

“Beliau berpengalaman luas dalam pengurusan strategi pelaburan dengan pengkhususan dalam perancangan strategik, pembangunan organisasi, penstrukturan transaksi, kewangan korporat, pengurusan projek, penilaian pelaburan serta pembangunan perniagaan.

“Malah, beliau pernah berkhidmat sebagai juruaudit di Deloitte United Kingdom sebelum menyertai PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia sebagai perunding korporat,” kata kenyataan itu.

Sebelum menyertai TH, Muhammad Fawwaz berkhidmat sebagai Pengurus Besar di UMW Group dan menjadi sebahagian daripada pengurusan kanan beberapa buah syarikat di Timur Tengah. – BERNAMA