LENGGONG: Rancangan menjadikan Lenggong sebagai Geopark Kebangsaan dan Global, tidak akan menjejaskan pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia ENESCO.

Sebaliknya, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia adalah pelengkap ke arah memperkukuhkan lagi pengiktirafan tapak warisan dunia itu.

Menurut beliau, perancangan pembangunan di kawasan itu akan dilakukan secara teliti dengan mengambil kira pengiktirafan tapak warisan dunia yang diperolehi sejak 2012.

“Kebimbangan kita sebenarnya ialah penarikan balik (pengiktirafan tapak warisan dunia) jika usaha-usaha pemeliharaan tidak dilakukan.

“Saya cukup yakin Lenggong Geopark ini adalah pelengkap ke arah memperkukuhkan Lenggong Tapak Warisan Dunia ini.

“Dari segi pemeliharaan, menjaga kawasan-kawasan yang penting, tapak-tapak penting akan juga dibantu di sini, umpamanya bukit dan gunung, kalau itu dimasukkan dalam sebahagian dalam geopark, ia akan memperkukuhkannya,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Seminar Aspirasi Lenggong Geopark di Dewan Merdeka Lenggong, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Ali Biju; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi; Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud serta Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains, Datuk Shahar Effendi Abdullah Azizi.

Shamsul Anuar yakin, sekiranya semua usaha itu dilakukan, pihak UNESCO akan mengkekalkan pengiktirafan yang ada.

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli mensasarkan Lenggong akan mendapat pengiktirafan Geopark Kebangsaan pada tahun 2021, seterusnya Geopark Global pada 2025.

Ia dijangka memberi impak positif kepada sektor geopelancongan, sekaligus memberi peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.

Shamsul Anuar berkata, kementerian telah mengemukakan peruntukan pembangunan sebanyak RM4.3 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Sementara itu, di dalam ucapannya. beliau memberitahu, dalam usaha merealisasikan Lenggong Geopark, kajian saintifik telah dilaksanakan oleh Kumpulan Pakar Ahli Geologi dari Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia.

“Hasil kajian itu telah menemui lokasi kesan hentaman tahi bintang di Bukit Bunuh yang menghasilkan kawah bersaiz 8 kilometer serta pembentukan batuan impaktit berusia sekitar 1.83 juta tahun,” ujarnya.

Katanya, penemuan itu sangat jarang berlaku di dunia dan ia menjadikan kawasan itu berpotensi untuk diangkat sebagai geotapak di kawasan Lembah Lenggong yang mempunyai nilai was warisan bertaraf dunia.