IPOH,17 DIS: Kerajaan negeri dicadangkan agar meletakkan semua Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) di bawah pentadbiran kerajaan sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Jurij Jalaludin (BN-Lubok Merbau) berkata, cadangan itu dilihat dapat membantu mengurangkan perbelanjaan mengurus sekolah-sekolah berkenaan.

“Jika kita lihat di negeri Selangor, semua Sekolah Menengah Agama Negeri telah diserap menjadi Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

“Ianya dapat menampung perbelanjaan mengurus seperti pembayaran gaji, yuran makan asrama, serta kos pembaikan dan ianya dapat menjimatkan pembelanjaan mereka.

“Saya ingin mecadangkan agar sekolah agama ini diserapkan di bawah pentadbiran kerajaan negeri sebagaimana yang dilakukan kepada Madrasah Idrisiah,” katanya ketika membahas Belanjawan 2021 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Jurij berharap, cadangan itu dapat diteliti oleh kerajaan negeri dalam menambah baik pengurusan Sekolah Menengah Agama di negeri ini.