SEGELINTIR golongan usahawan Cina mendakwa pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bersikap kurang profesional ketika hadir di premis-premis untuk menjalankan siasatan dan pengauditan.

Menurut Setiausaha Agung Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina, Datuk Low Kian Chuan, pihaknya menerima rungutan daripada ahli-ahlinya mengenai layanan kurang mesra daripada pegawai LHDN.

“Usahawan ini buat aduan kepada kami mengenai pegawai-pegawai LHDN kurang profesional ketika menjalankan siasatan sehingga berasakan diri mereka (usahawan) seperti seorang penjenayah,” kata Kian Chuan kepada China Press.

Jelasnya, sama ada sengaja elak cukai atau tidak, pembayar cukai adalah ‘pelanggan’ LHDN.

“Oleh itu, pegawai LHDN mesti mempunyai sikap yang baik dan profesional ketika menjalankan tugas.

“Sekiranya usahawan ini didapati bersalah kerana sengaja elak cukai, pegawai LHDN hanya perlu menjalankan tugas mengikut peraturan ditetapkan,” katanya.

LHDN sebelum ini telah memberi amaran penguatkuasaan ketat tahun ini dengan lebih banyak pengauditan dan siasatan akan dijalankan.

Sehingga hari ini, LHDN telah menjalankan pengauditan dan siasatan cukai ke atas 30 syarikat besar membabitkan kehilangan hasil keseluruhan kira-kira RM2.2 bilion disebabkan pengelakan cukai dan penalti.

Daripada jumlah syarikat itu, 10 syarikat telah menerima notis tunggakan cukai dan membayar RM800 juta keseluruhannya bagi pengelakan cukai serta penalti.

-Sinarharian