CYBERJAYA: Pemohon baharu Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 terutama di kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) digalakkan membuat permohonan secara dalam talian.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan permohonan dalam talian lebih digalakkan buat masa ini bagi memastikan rantaian penularan wabak COVID-19 dapat diputuskan.

“Permohonan baharu boleh dibuat mulai 15 Okt sehingga 15 Nov depan dan penerima BPN sedia ada tidak perlu mengemukakan permohonan semula sekiranya telah menerima bayaran sebelum ini,” katanya.

Pemohon baharu BPN 2.0 boleh merujuk kepada Soalan Lazim (FAQ) yang telah dimuat naik di portal rasmi BPN di https://bpn.hasil.gov.my/ bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai bantuan tersebut.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 atau 603-8911 1100 (Luar Negara), HASiL Live Chat dan Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDN di pautan https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 23 Sept lepas mengumumkan BPN 2.0 dengan jumlah bantuan yang akan disalurkan adalah RM1,000 kepada 3.7 juta isi rumah B40, RM500 kepada 3.8 juta kumpulan B40 bujang, RM600 kepada hampir 1.4 juta isi rumah M40 dan RM300 kepada 1.7 juta kumpulan M40 bujang.

Bayaran BPN 2.0 akan dibuat dalam dua ansuran iaitu pada hujung bulan ini dan pada Januari depan.– BERNAMA