KERIAN: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman mencadangkan supaya semua ahli parti itu menjadi jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.

Menurut beliau, UMNO tidak boleh mengharapkan kepada Pergerakan Wanita sahaja untuk melaksanakan program jalinan rakyat kerana bilangan pengundi semakin bertambah dari tahun ke tahun.

Beliau yakin, jika semua ahli UMNO diangkat sebagai jentera parti, Barisan Nasional mampu memperolehi kemenangan lebih baik berbanding pilihan raya umum lalu.

“Saya rasa jentera kita ni boleh diperhebatkan lagi kalau sekiranya tiap-tiap ahli UMNO secara langsung atau tidak langsung menjadi jentera.

“Saya sarankan, kalau boleh seorang ahli UMNO jaga dua ataupun tiga buah rumah dan dia memantau dan mengatasi apa juga masalah pengundi dalam rumah itu, apa masalah mereka terhadap UMNO dan kerajaan,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan serentak Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bagan Serai di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar Al-Baqir, Kerian pada Ahad.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat berkata, amalan tersebut telah dilakukan pihaknya sejak dari dahulu lagi.

“Saya minta setiap ahli dan pemimpin bahagian dan cawangan menjaga ahli keluarga mereka sendiri dan jiran-jiran sekeliling untuk memastikan mereka menyokong UMNO dan Barisan Nasional.

“Walaupun ada antara ahli keluarga mereka tidak mahu terlibat di dalam politik, tidak mengapa kerana apa yang penting, setiap kali pilihan raya, mereka mengundi Barisan Nasional,” ujarnya.

Beliau yakin, pada pilihan raya umum akan datang, Barisan Nasional mampu merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri Selinsing dan Semanggol disamping mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Alor Pongsu dan Parlimen Bagan Serai.