IPOH – Ulama dan Umara tidak harus disalah tafsir sebagai dua golongan terpisah dengan tanggapan bahawa satu bertanggungjawab kepada urusan agama manakala satu lagi bertanggungjawab kepada urusan negara.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah, Islam tak memisahkan kuasa agama dengan kepimpinan duniawi maka memperkukuhkan betapa pentingnya kedua-dua pihak itu saling membantu serta bekerjasama melaksanakan tanggungjawab kepada ummah.

c09c802d-a69b-49b6-bf7d-5f2e2fc9db10

“Di sisi Allah S.W.T, ulama dan umara mempunyai tugas dan tanggungjawab secara bersama, kerana ilmu dan kuasa merupakan amanah Allah. Ilmu harus digunakan dengan ikhlas dan jujur, tegas lagi berani; kuasa pula diuruskan dengan adil dan saksama, beramanah lagi berintegriti.

“Ulama sumber ilmu, Umara sumber kepimpinan, ilmu dan kepimpinan tidak boleh dipisahkan, begitu juga rangkaian Ulama dan Umara,” titah baginda pada majlis Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini pada Isnin.

Terdahulu, Ketibaan baginda bersama Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim diiringi Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli serta para pembesar negeri. Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa.

Titah Sultan Perak lagi, sejarah telah mencatatkan di kalangan para pemimpin Islam yang memiliki nama-nama besar, mereka tidak terpisah dengan bimbingan Ulama dan Imam al-Ghazali juga memperingatkan kerosakan para Umara berlaku kerana kerosakan para Ulama.

“Ulama mempunyai tugas utama melakukan tafaqquh fid diin (memberi pemahaman tentang agama) dan memberikan peringatan kepada masyarakat serta membimbing umat dengan petunjuk-petunjuk ilahiah (ketuhanan).

“Umara adalah satu keperluan di dalam masyarakat kerana tanpa Umara, masyarakat boleh menjadi kacau bilau, dan syariah tidak dapat dilaksanakan,” titah baginda.

Baginda bertitah, Imam Al-Ghazali pernah berkata bahawa adalah menjadi kebiasaan para ulama melakukan amar makruf dan nahi mungkar tanpa mengambil kira kekejaman pemerintah.

“Tetapi sekarang, lidah para ulama telah menjadi kelu kerana diikat oleh kepentingan. Kalaupun mereka bercakap, mereka tidak akan berjaya kerana pembawaan hidup mereka sendiri berbeza dengan apa yang dicakapkan.

“Sesungguhnya rakyat rosak kerana pemerintah, dan pemerintah rosak kerana ulama. Sementara ulama pula rosak kerana tamak harta dan pangkat. Maka sesiapa yang dikuasai oleh kecintaan kepada dunia, dia tidak akan mampu memberi nasihat walaupun kepada orang bawahan, apa lagi kepada pemerintah dan pembesar,” titah baginda memetik kata-kata Imam Al-Ghazali.