ETALING JAYA: Hasrat Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mengesahkan kejuaraan Liga Super ketujuh berturut-turut lebih awal tidak kesampaian apabila diikat 2-2 oleh Petaling Jaya (PJ) City FC dalam aksi yang penuh dramatik di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini malam tadi.

Beraksi dalam hujan lebat hampir 90 minit, skuad Harimau Selatan membuka jaringan menerusi penyerang profilik negara Safawi Rasid pada minit ke-35, namun pasukan tuan rumah pantas menyamakan kedudukan hanya dalam tempoh dua minit kemudian menerusi D Christie Jayaseelan.

Kemudian skuad kendalian K Devan pula mendahului apabila K Gurusamy menyempurnakan penalti pada minit ke-45, selepas pengadil Muhammad Nazmi Nasaruddin menghadiahkannya kepada PJ City kerana penjaga gol JDT Mohd Farizal Marlias menjatuhkan penyerang import dari Brazil, Washington Brandao.

JDT kendalian Benjamin Mora bagaimanapun bangkit mengikat kedudukan pada masa kecederaan babak pertama menerusi sepakan penalti pemain import dari Argentina, Gonzalo Cabrera, apabila Safawi dikasari di dalam kotak penalti PJ City. Kedua-dua pasukan yang membuat serangan bertali-arus, gagal mendapatkan jaringan pada babak kedua.

Sementara itu, Perak melonjak ke tangga kedua carta selepas berpesta gol ke atas Felda United FC 5-1 di Stadium Perak, Ipoh.

Penyerang kebangsaan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi muncul wira pasukan apabila meledak empat gol buat skuad Bos Gaurus pada minit ke-17, 46, 69 dan 85, ditambah jaringan Guilherme De Paula pada minit ke-52, manakala skuad pelawat mengurangkan defisit menerusi Nicolas Leandro Velez pada minit ke-62.

Keputusan hari ini menyaksikan JDT terus gah di persada Liga Super dengan 23 mata selepas sembilan perlawanan dengan berbaki dua perlawanan lagi, diikuti Perak (17 mata) dan Kedah (16 mata). Kedudukan ini bagaimanapun boleh berubah selepas aksi di antara Pahang dan Kedah di Stadium Darul Makmur, esok.

Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sah tersingkir ke saingan Liga Premier pada musim hadapan apabila menjadi ‘lauk’ kepada pasukan Terengganu FC, selepas dibelasah 4-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Kemenangan itu terhasil menerusi dua gol masing-masing daripada Muhammad Faris Ramli pada minit ketujuh dan 74, serta Lee Tuck pada minit ke-25 dan 45.

PDRM, yang sebelum ini telah dikenakan hukuman pemotongan tiga mata kerana masalah tunggakan gaji, sah tersingkir apabila berada di tangga tercorot dalam kalangan 12 pasukan dengan negatif satu mata selepas sembilan perlawanan, sekali gus tidak dapat mengatasi Felda United yang berada di tempat ke-10 dengan tujuh mata.

Pasukan Liga Premier, Kuala Lumpur mengesahkan kenaikan ke Liga Super dengan mengalahkan Selangor 2, 5-4 di Stadium Bola Sepak Cheras untuk berada di tempat kedua walaupun berkongsi 20 mata dengan pendahulu, Pulau Pinang, tetapi dibezakan dengan kelebihan jaringan.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pula, Kuching FA menewaskan pasukan tuan rumah Negeri Sembilan 4-2, manakala Kelantan mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Sarawak United di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.