KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan dua orang penjamin.

Hakim Azura Alwi membenarkan Lim, 60, membayar jaminan RM500,000 hari ini manakala bakinya hendaklah diselesaikan selewat-lewatnya pada Isnin selain memerintahkan pasport antarabangsa dan diplomatik Ahli Parlimen Bagan itu diserahkan keada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah turut mengingatkan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan supaya tidak mengeluarkan sebarang komen yang akan subjudis terhadap kes itu.

“Apabila kes sudah didengar di mahkamah, adalah menjadi tanggungjawab masing-masing supaya tidak mengeluarkan apa-apa komen yang akan subjudis kepada kes ini. Aduan boleh dibuat kepada pihak tertentu sekiranya terdapat komen sedemikian,” kata Azura yang turut menetapkan 9 Sept untuk sebutan semula kes.

Berhubung permohonan pendakwaan supaya tertuduh melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada setiap minggu pertama setiap bulan, hakim berkata perkara itu tidak perlu, kerana jumlah jaminan yang ditetapkan adalah tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin mencadangkan wang jaminan RM2 juta dengan dua penjamin warganegara Malaysia terhadap Lim dan memohon dokumen perjalanannya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Wan Shaharuddin berkata jumlah jaminan RM2 juta adalah munasabah memandangkan status tertuduh ketika melakukan kesalahan adalah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan dia juga telah melanggar kepercayaan yang diberikan terhadapnya.

“Mohon mahkamah mengambil kira jenis kesalahan dilakukan serta jawatan yang disandang oleh tertuduh ketika itu. Kesalahan rasuah diibaratkan sebagai ‘kanser’ kerana sesuatu tamadun masyarakat yang maju boleh musnah dengan sekelip mata dengan kesalahan rasuah ini. Malaysia boleh musnah dalam sekelip mata dengan adanya rasuah.

“Pihak kami juga berharap supaya mahkamah ini tidak terikat dengan keputusan Mahkamah Pulau Pinang sebelum ini yang tidak mengarahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dalam kes rasuah (pembelian lot tanah dan banglo) dihadapi tertuduh,” katanya.

Wan Shaharuddin juga memohon tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan di dalam kes ini dan sekiranya terdapat aduan bahawa tertuduh mengganggu saksi berkenaan, pihak pendakwaan memohon jaminan yang diberikan kepada tertuduh dibatalkan oleh mahkamah.

– BERNAMA