Oleh:Nazialita Geynna Maharan

KAMPAR: Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata debat antara Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz dan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu disiarkan secara langsung untuk tatapan semua rakyat di Malaysia.

Penasihat DAP itu juga berkata, tindakan Nazri mahu mengadakan perdebatan yang dijadualkan di Kuala Kangsar, pada 25 Mac ini merupakan satu tindakan tepat.

Katanya, intipati perdebatan itu merupakan kepentingan awam dan dinantikan, bukan sahaja oleh masyarakat di Malaysia malah di seluruh dunia.

“Saya ada berjumpa dengan Nazri dan saya beritahu dia bukan orang baru dalam dunia politik, dia antara menteri senior. Apa yang dilakukannya ini akan menaikkan nama Padang Rengas, Kuala Kangsar dan juga Perak.

“Itulah sebabnya kalau boleh ada siaran langsung atau live telecast untuk debat ini, saya mohon Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak untuk mempertimbangkan semula perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi mini ceramah di Pusat Khidmat DAP di Malim Nawar, di sini pada petang Isnin.

Menurut Kit Siang, pihak kerajaan sepatutnya melihat kepada perkara itu, tambahan pula kini merupakan zaman IT yang maju untuk menyiarkan perdebatan yang akan memperincikan pelbagai isu di Malaysia.