IPOH: Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Perak membuka lima Agrobazar Rakyat dan empat Pasar Segar Terkawal (PST).

Menurut Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak, Datuk Abdul Yunus Jamahri, pembukaan lima agrobazar dan empat PST itu memberi manfaat kepada lebih 100,000 ahli Pertubuhan Peladang dan masyarakat setempat.

Katanya, pembukaan agrobazar dan PST itu adalah untuk memastikan kelestarian dan rantaian pengeluaran serta bekalan bahan makanan tidak terputus sepanjang tempoh PKP.

“Mereka juga mengambil inisiatif menjalankan perkhidmatan penghantaran ke rumah atau COD dan menerima tempahan awal secara atas talian melalui aplikasi WhatsApp dan telefon.

“Inisiatif yang diambil ini bukan sahaja memudahkan masyarakat setempat malahan meningkatkan jualan di antara 40 hinga 50 peratus berbanding sebelum PKP dilaksanakan,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini pada Selasa.

Lima agrobazar itu ialah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pengkalan Hulu, Gerik, Padang Rengas, Senggang Manong dan Tambun manakala empat PST ialah di PKK Selama, Pengkalan Hulu, Tapah dan di Pertubuhan Peladang Negeri di Ipoh.

Pada sidang media itu, Abdul Yunus turut menyerahkan peruntukan lebih RM370,000 kepada lima PPK untuk memperkasakan Agrobazar Rakyat di kawasan masing-masing.

Beliau menjelaskan sejak PKP dilaksanakan, jumlah jualan di agrobazaar dan PST berkenaan telah melebihi RM1.3 juta.

Abdul Yunus berkata, LPP Perak turut membantu memasarkan hasil tanaman pengusaha lain yang berdepan masalah lambakan bekalan.