IPOH: Walaupun masih muda, sekumpulan lima lelaki berani menyamar sebagai anggota polis untuk menyamun pekerja warga asing di asrama dan rumah kongsi mereka di sini.

Bagaimanapun, kegiatan jenayah mereka terbongkar apabila kesemua suspek yang berusia lingkungan 19 hingga 23 tahun ditangkap dalam serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman berkata, modus operandi kumpulan itu ialah memperkenalkan diri mereka sebagai anggota polis sebelum menyamun wang, barang kemas dan telefon bimbit mangsa.

Kumpulan itu juga dikatakan tidak teragak-agak untuk menggunakan kekerasan sekiranya mangsa-mangsa yang cuba disamun itu bertindak melawan mereka.

“Sejak Januari lalu sehingga kini, terdapat sembilan kes samun dengan menyamar sebagai pegawai polis di daerah Ipoh. Modus operandi kumpulan ini ialah dengan membuat pemeriksaan di asrama atau rumah kongsi pekerja asing sebelum menyamun,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Menurut Yahya, hasil risikan dan siasatan yang dijalankan, polis berjaya menahan seorang lelaki pada 2 Oktober lalu manakala tiga lelaki lain pula keesokkan harinya dan suspek kelima yang merupakan anggota polis berpangkat konstabel ditangkap pada 6 Oktober lalu.

Menurut beliau, pihaknya juga berjaya menangkap seorang lelaki dan wanita yang telah membeli telefon bimbit yang disamun serta seorang perempuan yang berperanan menjual telefon bimbit berkenaan.

Beliau memberitahu, dalam serbuan dan pemeriksaan yang dijalakan, pihak polis merampas lima belas telefon bimbit pelbagai jenama, dua helai vest polis, satu beg sandang, satu beg duit dan satu cutter.

“Siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengesan sekiranya masih terdapat suspek lain dan sama ada kumpulan ini terlibat dalam kegiatan serupa di daerah lain.

“Dengan tertangkapnya kesemua suspek ini kita berjaya menyelesaikan kesemua kes samun menyamar pegawai polis di daerah Ipoh sejak Januari lalu,” katanya.

Ujarnya, siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan samun berkumpulan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.