KAMPAR: Lima lelaki yang ditahan dalam Ops Warta di sini, hari ini, dibawa untuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kampar setelah dikesan memiliki waran tangkap atas pelbagai kesalahan trafik di daerah itu sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, mereka yang ditahan dalam operasi di Kilometer 19, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, kemudiannya dijatuhi hukuman oleh Majistret yang bertugas.

“Ketika diperiksa dalam Ops Warta itu, kelima-lima lelaki ini didapati memiliki waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kampar atas pelbagai kesalahan trafik. Polis terus membawa mereka ke mahkamah untuk diadili,” katanya di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Kong Soon menasihatkan orang awam, khususnya di daerah Kampar, supaya menyemak status saman mereka dengan Cawangan Trafik IPD Kampar dengan segera.

Bagi mengelakkan kejadian serupa, katanya, orang ramai perlu menjelaskan sebarang tunggakan saman trafik dengan segera.