PETALING JAYA : Lima lelaki warga asing dipercayai saki baki ahli ‘Geng Vasu Kepong’ yang bergiat aktif terlibat dalam jenayah samun ditangkap polis semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner, Nik Ezanee Ismail berkata, kesemua lelaki warga asing yang tidak didedahkan kerakyatan itu berusia dalam lingkungan antara 26 hingga 35 tahun.

Katanya, susulan sidang media tangkapan awal beberapa ahli geng samun pada 3 Jun lalu, sepasukan polis sekali lagi  melakukan serbuan mengejut di dua buah premis berasingan di kawasan Kepong.

“Dalam serbuan lebih kurang jam 5 petang Isnin semalam  pasukan IPD Petaling Jaya berjaya menangkap lima lagi lelaki warga asing di kedua-dua premis itu,’ katanya dalam kenyataan  hari ini.

Menurut Nik Ezanee, tangkapan itu berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada salah seorang suspek yang pernah ditahan sebelum ini.

“Ketika soal siasat suspek itu, dia mengaku kepada polis dan memberikan maklumat bahawa mereka menjual hasil rompakan pecah kedai iaitu sejumlah rokok di kedua-dua premis itu.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis berjaya merampas lebih kurang 350 kotak rokok pelbagai jenama.

“Kini kesemua suspek itu ditahan reman selama empat hari dan disiasta di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,’ tegasnya.

Dalam tangkapan pada 3 Jun lalu, pasukan dari Petaling Jaya juga berjaya mematahkan Geng Vasu Kepong melibatkan lapan suspek dalam beberapa serbuan berlainan di ibu negara.

Dalam kejayaan itu, bersama lapan suspek turut dirampas empat buah kenderaan termasuk tiga kenderaan curi iaitu Suzuki Swift, Proton Wira Aeroback dan Proton Perdana dipercayai milik salah seorang suspek.