KOTA TINGGI – Empat remaja lelaki dan seorang remaja perempuan ditahan bersama dadah dalam satu serbuan dilakukan di sebuah bilik hotel dekat Jalan Tun Sri Lanang, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, tangkapan pada jam 7.10 pagi itu melibatkan remaja berusia 16 hingga 19 tahun.

Menurutnya, serbuan dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

“Ketika serbuan, pasukan mendapati dalam bilik berkenaan terdapat empat lelaki dan seorang perempuan. Hasil pemeriksaan menjumpai satu beg warna merah bertulis SHAMATE self owned brand di atas lantai sebelah kanan kaki katil.

“Beg didapati mengandungi satu paket plastik lutsinar di dalamnya terdapat 10 paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu anggaran berat kasar 7.85 gram,”katanya dalam satu kenyataan.

Ekoran itu, beliau berkata, semua suspek ditahan reman tujuh hari dari 11 hingga 17 Mac untuk membantu siasatan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 39(A) (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan 15(1)(a) ADB 1952.

-SinarHarian