IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menggariskan lima resepi utama sehingga Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) terbaik Malaysia pada 2016, seperti yang diumumkan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar pada Isnin.

c806a61b-6e0e-4a95-9d95-8e459c7c9be0Menurut beliau, lima resepi itu ialah memberi ransangan kepada warga kerja, semangat berpasukan, memecahkan benteng protokol, penghargaan dan istiqamah.

Dr Zambry berkata, beliau sering memberi ransangan positif kepada warga kerja MBI
Bahawa tiada yang mustahil di samping memberi contoh kepada mereka untuk membentuk semangat berpasukan.

Dalam masa sama, ujarnya, benteng protokol yang terlalu tebal di PBT berjaya dipecahkan, tanpa melupakan pengiktirafan atau penghargaan kepada kejayaan-kejayaan yang mereka perolehi.

“Mereka juga mestilah istiqamah dalam gerak kerja mereka, jangan cepat kecewa dengan kritikan dan anggaplah kritikan itu sebagai satu cabaran positif untuk mereka buktikan yang lebih baik lagi,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di sini pada Rabu.

Dr Zambry berkata, selepas muncul sebagai yang terbaik, MBI perlu mengekalkannya dan menguruskan kejayaan iitu dengan menetapkan sasaran dengan mengekalkan Ipoh sebagai antara bandaraya terbaik di negara ini.

Beliau memberi contoh, MBI mungkin boleh meletakkan sasaran dalam kumpulan tiga atau lima terbaik, kerana saingan selepas ini sudah tentu lebih hebat lagi.

Dalam masa sama, beliau melahirkan rasa syukur kerana selain MBI, tujuh lagi PBT di Perak turut menerima penarafan lima bintang iaitu Majlis Perbandaran Manjung, Majlis Daerah Batu Gajah, Majlis Perbandaran Taiping, Majlis Daerah Kampar, Majlis Daerah Kerian, Majlis Perbandaran Teluk Intan dan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar.

Sambil mengucapkan tahniah kepada PBT berkenaan, Dr Zambry berharap. PBT yang tidak mendapat penarafan lima bintang supaya terus berusaha dan memperbaiki kelemahan serta kekurangan yang ada.