BAGAN SERAI: Seorang remaja terselamat apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu bersama empat lagi rakan merempuh tiang elektrik di Jalan Bukit Merah, dekat sini, awal pagi ini.

Remaja berusia 19 tahun itu tersepit pada bahagian tangan manakala empat rakannya hanya mengalami kecederaan ringan.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 1.46 pagi.

“Setibanya jentera A1-33 Bagan Serai di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza telah terbabas dan melanggar tiang elektrik,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat dan menyerahkannya kepada pihak ambulan untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Anuar Rashid tamat pada 2.53 pagi.