KUALA LUMPUR, 18 DIS : Beberapa sektor akan mula dibuka secara berfasa bermula 1 Januari 2021, antaranya sektor pelancongan, kebudayaan, sukan dan rekreasi.

Berikut adalah lima perkara penting dalam sidang media Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat, 18 Disember 2020:

1) Sektor sukan dan rekreasi yang dibuka perlu mengikut SOP berdasarkan lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Pemulihan (PKPP). Antara yang akan mula dibuka adalah kejohanan bola sepak tempatan.

2) Bagi sektor pelancongan, kapasiti pengunjung yang dibenarkan ialah 50 peratus daripada kapasiti sebenar. Manakala sektor sukan di kawasan PKPP, hanya 10 peratus penonton, atau bagi venue yang sebesar manapun, maksimum 4,000 penonton sahaja dibenarkan. Bagi kawasan PKPB, tiada penonton dibenarkan.

3) PKPB di Kuala Lumpur dan Selangor dilanjutkan sehingga 31 Disember, kecuali Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor, yang telah ditamatkan PKPB.

4) Bagi sambutan Krismas, upacara sembahyang dibenarkan di kawasan PKPB dan PKPP pada 24 Disember dan 25 Disember. Tradisi kunjung mengunjung pula hanya dibenarkan pada 25 Disember.

5) Aktiviti kunjung mengunjung tidak melebihi 20 pengunjung, manakala upacara sembahyang di rumah ibadat perlu dilakukan dalam dua sesi, mengikut SOP yang ditetapkan.