BIRMINGHAM, United Kingdom: Juara dunia lima kali, Lin Dan meranapkan harapan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei untuk mengekalkan kejuaraan All England apabila menyingkirkan seteru utamanya itu di suku akhir, awal pagi tadi.

Lin Dan, 34, dari China menang dengan keputusan straight set 21-16, 21-17 ke atas Chong Wei, 35 dalam pertemuan menarik dan penuh mendebarkan ketika pergerakan kedua-duanya tampak tidak menunjukkan usia sebenar mereka.

Chong Wei pada awalnya tampak berada di landasan untuk meraih kejayaan apabila sentiasa melakukan serangan dan mendahului 16-15 pada set pertama dan 13-10 pada set kedua.

Begitupun, Lin Dan yang juga pemenang dua kali pingat emas Olimpik membuktikan betapa dia masih bertenaga untuk berusaha membawa pulang gelaran ketujuh All England tahun ini.

“Saya bermain dengan agak baik,” kata Lin Dan. “Ia kejohanan yang hebat, dan dia adalah salah seorang pencabar yang hebat, jadi ia menakjubkan.”

Chong Wei dalam pada itu tidak mahu terlalu dibelenggu dengan kekalahan berkenaan.

“Saya akan terus bergerak ke depan,” katanya. “Masih banyak kejohanan di luar sana pada tahun ini,” kata Chong Wei.

Sementara itu, cabaran Malaysia dalam acara beregu lelaki juga berakhir apabila gandingan Goh V Shem/Tan Wee Kiong tewas kepada pilihan kedua kejohanan, Mathias Boe/Carsten Mogensen.

Pasangan Denmark itu meraih kemenangan straight set 22-20, 21-11. – AFP