IPOH, 12 JAN – Umat Islam wajib melindungi kesucian agama daripada sebarang bentuk manipulasi pihak tertentu untuk mendapatkan keuntungan politik.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah, ajaran Islam berlandaskan al-Quran dan sunah Rasullullah SAW turut wajib dilindungi.

Titah baginda, hukum hakam dan tafsiran mengenai Islam tidak boleh dibenarkan untuk ditafsirkan sewenang-wenangnya oleh mana-mana kumpulan hingga tergelincir daripada landasan sebenar.

“Peruntukan yang memaktubkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja sebagai Ketua Agama Islam, memberi jaminan bahawa tanggungjawab mengenai agama Islam dilindungi dan tidak akan terjejas walau apa juga perubahan yang berlaku dalam kepimpinan politik negara serta negeri selepas setiap kali berlangsungnya pilihan raya.

“Agama Islam yang diamanahkan tanggungjawab kepada Raja Pemerintah, akan lebih terjamin dilindungi kesuciannya,” titah baginda selepas menyempurnakan Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Yang Dipertua dan Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Hakim Mahkamah Utama Syariah Negeri Perak, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan Ketua Pendakwa Syarie Negeri Perak di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, Islam yang diperuntukkan kedudukan istimewa di negara ini perlu diangkat kemuliaannya dan ia tidak boleh bergantung semata-mata kepada apa yang termaktub di dalam Perlembagaan.

Titah baginda, tanpa pengisian, perkara yang termaktub dalam Perlembagaan hanya tinggal sebagai frasa perundangan, ibarat skrip kosong yang tidak memberikan sebarang makna.

Baginda bertitah, tanggungjawab memberi makna kepada frasa perundangan tersebut terletak di atas bahu setiap umat Islam yang wajib berusaha menjelmakan Islam secara terserlah dalam budaya hidup harian.

“Islam bukan sekadar percakapan dan retorik, slogan yang dilaungkan atau sepanduk yang dipaparkan di setiap bangunan. Islam bukan bahan untuk didagangkan secara berjanji, secara memberi harapan, dijajakan atau dijadikan alat menghalalkan cara bagi mencapai tujuan duniawi. Islam wajib dibuktikan melalui kehidupan yang nyata.

“Masyarakat Islam hendaklah dengan segala daya dan kekuatan menolak sama sekali perlakuan yang boleh mencemarkan nama baik ummah serta kesucian Islam dengan tidak memberikan amanah atau menyerahkan tanggungjawab kepada kalangan yang berimej mungkar dan munafik, kalangan yang lemah moral dan rendah akhlaknya, kalangan yang terpalit dengan rasuah dan salah guna kuasa serta kalangan yang tidak amanah dan tidak ikhlas,” titah Sultan Nazrin.

Baginda bertitah, insan yang berpegang pada kalimah syahadah akan membuktikan sifat-sifat sayang, takut, menghormati dan mematuhi perintah Allah mematuhi sunah Rasulullah serta berpegang kepada Rukun Iman iaitu mempercayai adanya hari pembalasan dan adanya alam akhirat.

Titah baginda, seseorang yang memiliki sifat-sifat takwa akan bersifat jujur jika diamanahkan dengan tanggungjawab dan apabila diangkat untuk memimpin individu tersebut akan menjunjung amanah secara luhur serta tidak akan menodai kepercayaan yang telah diberikan.

Sultan Nazrin bertitah, rakyat sedang memerhati, mendengar dan mengikuti apa yang berlaku di dalam negara ketika ini dan lebih daripada itu Allah Maha Melihat lagi Maha Mendengar.

“Segala kejadian yang berlaku, hendaklah ditafsirkan dengan berlandaskan iman yang menyakini kuasa dan keadilan Ilahi.

“Apa juga ujian yang sedang dilalui oleh ummah, sesungguhnya ia berpunca daripada perbuatan zalim yang dilakukan oleh manusia,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Yang Dipertua dan anggota MAIPk, serta ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak atas perkhidmatan yang telah diberikan ketika menjunjung amanah dan memenuhi tanggungjawab sepanjang tempoh keanggotaan dan keahlian mereka pada penggal 2018 sehingga 2020.