KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pegawai penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), kerana disyaki menerima rasuah sebanyak RM300 sehingga RM3,500 secara bulanan, bagi melindungi premis perniagaan yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen di sekitar daerah itu.

Tiga suspek berkenaan berusia antara 41 tahun hingga 49 tahun ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya, selepas mereka dipanggil untuk memberi keterangan pada 9 pagi tadi.

Sumber berkata mereka yang ditahan terdiri daripada dua pegawai penguatkuasa dari MBSA Cawangan Sungai Buloh dan seorang daripada MBSA Shah Alam.

“Selain itu, SPRM turut menahan peniaga rokok seludup berbangsa Aceh seperti yang diceritakan dalam video itu, kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan dan akan diserahkan kepada pihak Imigresen bagi tindakan lanjut.

“Peniaga berkenaan telah beroperasi sejak 2019 dan dia dikatakan membayar wang rasuah sebanyak RM300 sebulan kepada penguatkuasa, bagi mengelakkan sebarang tindakan,” katanya kepada Bernama hari ini.

– BERNAMA