GOPENG: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir hari ini melancarkan fasa pertama pembukaan litar perlumbaan siri U.S Legends Car di kawasan seluas 83 hektar di T-City, dekat sini pada petang Selasa.

Dr Zambry berkata, litar lumba bertaraf dunia yang menempatkan dua kategori utama siri perlumbaan U.S Legends Car iaitu Bandolero dan Legends yang kini siap dibina tersebut merupakan satu pemangkin industri pelancongan baru di Perak.

Malah, Dr Zambry juga yakin bahawa litar pertama seumpamanya di seluruh Asia Tenggara tersebut akan menjadi pencetus dalam memberikan peluang pekerjaan serta merancakkan ekonomi masyarakat setempat di Gopeng.

“T-City merupakan litar pertama di Asia Tenggara untuk siri perlumbaan U.S Legends Car. Ia merupakan satu kelebihan kepada negeri Perak apabila ia diperkenalkan pada dua tahun lalu dan projek ini menjadi kenyataan.

“Setakat ini, pembukaan litar ini masih pada peringkat awal dan T-City akan memperkenalkan Akademi Lumba Kereta Memandu T-City di sini untuk melatih mereka yang berminat dalam sukan permotoran,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Akademi Memandu T- City (Ipoh), Gopeng di Bandar T-City, Gopeng Industrial Park, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin serta Pengerusi Eksekutif Goodland Group Limited, Tan Chee Beng.

Dr Zambry berkata, , litar lumba tersebut turut dirancang dan dibangunkan dengan penglibatan pihak swasta iaitu Goodlands Group Limited sejak dua tahun lepas dan dirangka secara teliti bagi memenuhi objektif sebagai sebuah Akademi Lumba Kereta Memandu T-City.

Terdahulu, T-City merupakan kawasan pembangunan bandar permotoran pertama di negara ini dengan keseluruhan perbelanjaan sebanyak RM15 bilion dan ia terbahagi kepada beberapa fasa untuk siap sepenuhnya.

Bagi fasa pertama, litar lumba siri U.S Legends Car yang diasaskan di Amerika Syarikat dibina dengan kos RM3 juta dan ia mengikut spesifikasi asal dari negara tersebut.

Setakat ini, pihak pengurusan sedang giat menjalankan kursus selama tiga hari di dalam Akademi Lumba Kereta Memandu T-City untuk mencungkil bakat baru dalam dunia permotoran.

Sementara itu, Chee Beng berkata, pembukaan T-City merupakan satu medan mencari serta mencungkil bakat pelumba U.S Legends Car tempatan.

Jelasnya, selain daripada Akademi Lumba Kereta Memandu T-City, pemaju juga sedang dalam perancangan untuk menjalankan lebih banyak kategori sukan permotoran di litar tersebut.

“Kita juga sedang merancang untuk membuka pelbagai gerai yang berkaitan dengan sukan permotoran, gerai makanan dan garaj untuk menempatkan kereta perlumbaan U.S Legends Car yang diimport dari Amerika Syarikat,” katanya.