TAIPING, 11 JAN  – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntukkan sebanyak RM1 juta sebagai bantuan awal kepada kumpulan nelayan di negeri-negeri yang terjejas banjir.

Pengerusinya, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, peruntukan di bawah Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan itu meliputi kerosakan harta benda dan peralatan penangkapan ikan seperti bot dan pukat.

Menurutnya, LKIM sudah mengarahkan pegawai terlibat untuk membuat pemantauan dan penilaian kerosakan agar bantuan lanjut dapat disampaikan dengan segera.

“Setakat ini kita belum menerima apa-apa laporan kerosakan atau kerugian membabitkan nelayan di sana.

“Kita ada persatuan nelayan di setiap kawasan, begitu juga pegawai-pegawai LKIM yang sentiasa bersedia membantu.

“Peruntukan sudah ada dan mereka akan maklumkan segera kepada kita supaya bantuan sewajarnya dapat disampaikan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan, Bukit Gantang di sini pada Ahad.

Pada majlis itu, seramai 22 nelayan daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sepetang yang terjejas akibat banjir menerima bantuan melibatkan peruntukan sebanyak RM11,400.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata, secara keseluruhan bencana banjir di Pantai Timur tidak menjejaskan nelayan-nelayan pantai.

Katanya, seperti di daerah Besut dan Dungun di Terengganu, hanya segelintir nelayan yang menjadi mangsa banjir.

“Banjir yang berlaku ini bukan betul-betul di pantai tetapi banyak di kawasan darat. Jadi kumpulan nelayan yang terjejas itu tidak besar,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa bencana banjir kali ini tidak akan menjejaskan bekalan ikan serta kenaikan harga.

“Kita punya pendaratan ikan ada di banyak tempat, bukannya tertumpu di satu kawasan sahaja.

“Di sebelah pantai barat sekarang ini proses pendaratan ikan berjalan seperti biasa dan di sebelah timur mungkin ada pengurangan, namun jumlahnya kecil,” katanya. – Sinar Harian