PUTRAJAYA: Parti dalam Pakatan Harapan (PH) perlu mendapat kebenaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika mahu menggunakan satu logo parti saja pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata sehingga kini, pihaknya masih belum menerima sebarang makluman rasmi daripada PH berhubung perkara itu.

Katanya, SPR perlu memastikan semua parti yang bertanding mengikut peraturan yang ditetapkan termasuk berkaitan penggunaan logo.

“Kebenaran menggunakan logo daripada kita. Kalau dia nak guna logo baharu dan sebagainya, kita yang perlu memberi kelulusan.

“Kalau parti politik, dia dah daftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS), kemudian dia kena kemuka kepada kita. Kita tengok jika logo itu tidak bertentangan (dengan peraturan), kita luluskan saja.

“Sehingga kini, kita belum ada pengesahan (penggunaan satu logo oleh PH). Mereka hanya bercakap mengenainya saja,” katanya pada sidang media khas selepas melihat Simulasi Bilik Gerakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 di ibu pejabat SPR di sini, hari ini.

Semalam, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keempat-empat parti dalam pakatan itu akan menggunakan simbol PKR untuk PRU-14 – berita harian