Oleh: Nazialita Geynna Maharan

CHEMOR: Lalu lintas di sepanjang Jalan Jelapang di sini, terhenti dan sesak sejauh lima kilometer sejak awal pagi ini ekoran laluan terhalang akibat kemalangan yang menyebabkan sebuah lori balak terbalik.

Tinjauan Suara Perak di tempat kejadian pada petang ini mendapati muatan balak merentangi jalan raya berkenaan dan kerja-kerja mengalihkannya masih dijalankan.

Tinjauan turut mendapati keadaan lori balak dan muatannya menyebabkan lalu lintas sesak teruk memandangkan laluan tersebut merupakan jalan utama ke Meru dari Sungai Siput dan Chemor.

Menurut jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian lori balak terbabas dan terbalik pada pukul 5.47 pagi.

7caf91ce-da95-475c-871a-6afd83bcd462

Katanya, ketika pasukan bomba dan penyelamat tiba di tempat kejadian, didapati ada sebuah kereta Proton Saga yang turut terlibat dalam kemalangan itu.

“Bagaimanapun, pemandunya bernasib baik kerana terselamat dan berjaya keluar dari keretanya dengan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam insiden berkenaan, lori dengan muatan kayu balak itu dipercayai terbalik dan menghalang laluan sempit dua hala ketika orang ramai hendak keluar ke tempat kerja dan sekolah.

Tambah jurucakap itu, syarikat pengurusan lori balak berkenaan akan memanggil syarikat penarik kenderaan (towing) untuk mengalihkan lori dan muatannya bagi melancarkan pergerakan trafik.