SLIM RIVER: Sebuah lori membawa muatan bahan kimia terbabas dan terbalik di Kilometer (KM) 366 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini, pada Jumaat.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden kebocoran bahan kimia itu pada jam 8.29 pagi.

Justeru ujarnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian mendapati terdapat sebuah lori terbabas dan terbalik.

“Pemandu lori tersebut cedera di tangan dan kaki, seterusnya dibawa keluar oleh orang awam kemudian dihantar ke hospital Slim River”katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, bahan kimia yang dikenalpasti seperti amines liquid, corrosive (UN 2735), sulfuric acid (UN 2796) dan environmental hazardous substances liquid (UN 3082).

“Pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian diarahkan untuk membuat kerja ‘identify the problem’ dan setelah dikenalpasti bahan seterusnya diasingkan.

“Manakala bahan yang tertumpah dilakukan ‘covering’ menggunakan serbuk kayu,”katanya.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.16 pagi.