Beberapa pemimpin kanan DAP, termasuk Lim Kit Siang hadir di Kompleks Mahkamah Melaka untuk memberi sokongan moral kepada 2 Adun DAP hari ini

PETALING JAYA : Dua Adun DAP, P Gunasekaran dan G Saminathan dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan keganasan di bawah Seksyen 130 Kanun Keseksaan, kira-kira tiga minggu selepas mereka ditahan dalam operasi ke atas penyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Adun Seremban Jaya, Gunasekaran dan Adun Gadek, yang juga Exco Melaka, Saminathan, dibawa ke Mahkamah Seysen Ayer Keroh pagi ini bersama ahli perniagaan, S Chandru, dalam kemunculan pertama selepas ditahan pada 10 dan 12 Okt lalu.

Gunasekaran, Saminathan dan Chandru diwakili peguam DAP yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.

Veteran DAP, Lim Kit Siang dan Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran antara pemimpin kanan DAP yang hadir di mahkamah untuk memberi sokongan moral kepada ahli parti itu.

Tujuh individu lain dibawa ke mahkamah di Segamat, Kuala Kangsar, Sepang dan Selayang untuk berdepan pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE atau memiliki barangan berkaitan kumpulan pengganas itu.

Hakim menolak ikat jamin bagi tiga ahli DAP itu dan mereka akan dihantar ke Penjara Sungai Buloh.

Baki dua lagi individu dijangka dihadapkan ke mahkamah pada Khamis.

Dua belas individu itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan mereka antara lain didakwa cuba menghidupkan semula LTTE yang disenaraikan sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak 2014.

Di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, juruteknik, S Arivainthan dan pemandu teksi, V Balamurugan didakwa memberi sokongan kepada LTTE.

Peguam mereka, RSN Rayer memberitahu FMT, kedua-duanya didakwa menyertai satu upacara menyokong LTTE di Sungai Siput pada 28 Dis 2014.

“Saya berhujah dakwaan terhadap mereka tidak jelas dan ikat jamin perlu ditawarkan.”

Bagaimanapun, katanya, pihak pendakwaan meminta Hakim, Rohaida Ishak tidak membenarkan ikat jamin kerana mereka ditahan di bawah Sosma.

Kedua-dua lelaki itu akan direman di Penjara Sungai Buloh. Sebutan semula kes ditetapkan pada 28 Nov ini.

Mereka yang didapati bersalah boleh dipenjara seumur hidup atau sehingga 30 tahun atau denda. Kerajaan juga boleh merampas sebarang harta yang digunakan untuk melakukan kesalahan itu.