KUALA LUMPUR : Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seremban Jaya P Gunasekaren mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dalam satu majlis di Melaka, 2 tahun lepas.

Gunasekaren yang juga timbalan pengerusi DAP Negeri Sembilan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Wakil rakyat berumur 61 tahun itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama Taman Ayer Keroh Heights, Melaka Tengah, Melaka, pada 8.30 malam 28 Nov 2018.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu jika sabit kesalahan.

Peguam Harshaan Zamani yang mewakili tertuduh memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan permohonan jaminan secara bertulis.

Pada 17 Dis lepas, Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka memindahkan kes Gunasekaren ke Mahkamah Tinggi di sini selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan.

Di Mahkamah Tinggi berasingan, Gunasekaren turut menghadapi satu lagi pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE dengan cara menggunakan aplikasi Facebook atas nama ‘Dap Guna Palanisamy’ di pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8 (M) Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, di sini kira-kira 2 petang, 7 Okt 2019.

Dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Mohd Nazlan, penjaga stor S Thanagaraj, 28, mengaku tidak bersalah terhadap 2 pertuduhan memiliki item berkaitan dengan LTTE di Pulau Pinang pada Okt tahun lepas.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki item yang berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE dalam telefon bimbit di Sky Thommas Food Industries Sdn Bhd No 1066, Jalan Perindustrian Bukit Minyak 2, Kawasan Perindustrian Bukit Minyak, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang pada pukul 10 pagi, 12 Okt 2019.

Lelaki itu turut dituduh melakukan perbuatan sama di No 7, Lorong Sejahtera 3, Taman Sejahtera, Seberang Perai Tengah pada pukul 11 pagi, tarikh sama.

Thanagaraj didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana barangan berkenaan, jika sabit kesalahan.

Pada 16 Dis, Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang memerintahkan kes dihadapi Thanagaraj dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Mohd Nazlan menetapkan 31 Jan untuk sebutan semula bagi kedua-dua kes itu. Kes melibatkan keganasan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.