KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih mempunyai asas yang kukuh untuk menyenaraikan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sebagai pengganas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, ia berdasarkan maklumat yang diterima pada tahun 2014.

Menurutnya, LTTE disenaraikan sebagai Entiti Ditentukan mengikut seksyen 66B (1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001

“Pengikut kumpulan ini dipercayai boleh menimbulkan ancaman terhadap ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk mengambil tindakan mengikut saluran undang-undang bagi membendung sebarang bentuk penyebaran ideologi dan kegiatan yang berkaitan kumpulan ini.

“Selain Malaysia, beberapa negara lain pada ketika itu yang turut mengisytiharkan LTTE sebagai kumpulan pengganas ialah India, Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan William Leong Jee Kee (PH-Selayang) bahawa bagaimana LTTE yang tidak wujud sejak 2009 adalah satu ancaman keselamatan negara dan mengapa ia tidak dikeluarkan dari senarai organisasi pengganas di bawah AMLATFPUAA 2001.

Mengulas lanjut, Dr Ismail berkata, meskipun seksyen berkenaan tidak menyatakan hanya entiti yang masih bergerak aktif yang boleh disenaraikan sebagai Entiti Ditentukan.

Katanya, penyenaraian entiti berkenaan adalah berdasarkan maklumat perisikan dan keselamatan dari agensi yang mempunyai kredibiliti seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Namun, untuk maklumat Yang Berhormat juga, sebagaimana ditetapkan di seksyen 66B (9) AMLATFPUAA 2001, penilaian semula terhadap senarai Entiti Ditentukan tersebut dibuat setiap enam bulan sekali.

“Penilaian semula ini akan menentukan sama ada sesuatu entiti berkenaan dikekalkan atau dikeluarkan dari senarai bergantung kepada maklumat perisikan dan keselamatan terkini,” katanya. -Sinar