KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad berkata, Lynas Corporation tidak boleh diminta keluar dari Malaysia “seperti paria” kerana ia akan merosakkan pelaburan masa depan di Malaysia.

“Jika kita layan Lynas seperti paria dan minta mereka meninggalkan negara ini, kita tidak akan mendapat orang lain untuk datang dan melabur,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai dakwaan pengkritik syarikat nadir bumi itu bahawa lesen operasi kilang Lynas diperbaharui kerana hubungan rapatnya dengan kerajaan Jepun.

Bercakap selepas pelancaran satu persidangan pelancongan di sini hari ini perdana menteri menambah bahawa Malaysia menjemput Lynas untuk datang dan melabur di negara ini.

Lynas diselubungi kontroversi selama beberapa tahun berikutan bantahan kumpulan pencinta alam dan ahli politik Pakatan Harapan (H) terhadap kilang pemprosesannya di Gebeng, Kuantan, atas sebab kesihatan. Mereka turut menuntut kilang itu ditutup.

Pada 15 Ogos, Putrajaya bersetuju untuk memperbaharui lesen operasi Lynas di negara ini selama 6 bulan tertakluk kepada beberapa syarat.

Ini termasuklah membina kemudahan “cracking and leaching” di luar Malaysia dalam tempoh 4 tahun dari tarikh pembaharuan lesen dan mengenal pasti tapak pelupusan sisa kekal (PDF) yang diberikan kebenaran bertulis oleh pihak berkuasa berkaitan.

Mahathir hari ini berkata, kumpulan anti Lynas bimbang mengenai sisa nadir bumi yang dihasilkan, walaupun pakar berpendapat sisa tersebut tidak berbahaya.

“Kumpulan yang menentang Lynas, mereka terus mahu menutup Lynas.

“(Tetapi) ini pelaburan besar RM1.7 bilion dan menyediakan 700 pekerjaan bernilai tinggi.”

Ketika ditanya sekali lagi sekiranya lesen Lynas diperbaharui kerana hubungan rapatnya dengan Jepun, Mahathir berkata, “tidak ada kena-mengena dengan Jepun.”