DOHA : Dr Mahathir Mohamad hari ini membayangkan beliau mungkin akan kekal sebagai perdana menteri sehingga selepas 2020.

Ketika ditanya dalam Forum Doha di Qatar jika beliau akan berundur pada 2020, Mahathir berkata, beliau mahu mengatasi masalah yang ditimbulkan oleh kerajaan lepas sebelum meletak jawatan.

Mahathir juga berkata, beliau tidak boleh menjamin siapakah yang akan menggantikannya sebagai perdana menteri.

Pada 10 Dis, Mahathir berkata, beliau akan menyerahkan kuasa kepada calon penggantinya Anwar Ibrahim, walaupun wujud dakwaan salah laku seks terbaru terhadap pemimpin PKR itu.

Mahathir juga berkata, beliau mungkin melepaskan kuasa selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) yang dijadualkan berlangsung di Malaysia pada Nov 2020.

Terdahulu Mahathir berkata, sekatan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran bercanggah dengan piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa.

“Malaysia tidak menyokong pengenaan semula sekatan satu hala oleh AS terhadap Iran.”

Malaysia dan negara lain kehilangan “satu pasaran yang besar” berikutan sekatan terhadap Iran, katanya.

“Sekatan sedemikian jelas melanggar piagam PBB dan undang-undang antarabangsa.

“Sekatan hanya boleh dilaksanakan oleh PBB berdasarkan piagam tersebut,” katanya.