SHAH ALAM: Mahkamah Koroner di sini menamatkan prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim kerana keterangan saksi mencukupi untuk membantu mahkamah membuat keputusan.

Koroner, Rofiah Mohamad membuat keputusan itu ketika sebutan kes hari ini.

“Mahkamah sudah meneliti keterangan semua saksi dalam inkues dan mahkamah berpendapat keterangan itu mencukupi untuk membantu mahkamah membuat keputusan.”

Rofiah turut mempelawa pihak berminat seperti keluarga Adib serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memfailkan penghujahan untuk membantu mahkamah membuat keputusan.

Peguam, Taufiq Baharum yang mewakili keluarga Adib berkata, pihaknya akan memfailkan penghujahan bertulis.

Tetapi, Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan belum memutuskan sama ada akan memfailkan penghujahan.

Rofiah menetapkan 21 Ogos ini untuk sebutan kes sementara menunggu penghujahan daripada peguam keluarga Adib.

Putrajaya memutuskan untuk mengadakan inkues ini susulan dakwaan bercanggah mengenai punca kematian Adib.

Adib, 24, antara anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya yang dikerahkan ke sekitar Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, selepas beberapa kereta dibakar pada 27 November lalu.

Beliau meninggal dunia 17 Disember lalu, 3 minggu selepas dirawat di Institut Jantung Negara.

Inkues ini bermula 11 Februari lalu dan mahkamah mengambil 41 hari untuk mendengar keterangan daripada 30 saksi dan pakar.