SEPANG: Pendaki Malaysia, Khairil Aslan Ab Rashid, 43, merancang untuk menawan puncak Gunung Everest dan Gunung Lhotse, tahun depan.

Beliau berkata, secara umum, tidak ramai yang dapat melakukan pendakian sekali gus di kedua-dua puncak tertinggi dan keempat tertinggi di dunia itu.

“Insya-Allah, jika ada rezeki dan kesihatan yang baik, saya akan melakukan pendakian di dua puncak itu pada April tahun depan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, malam tadi.

Khairil Aslan tiba di tanah air selepas menyempurnakan Misi Merdeka Pendakian Solo 3 Puncak Himalaya ‘Road to Everest & Lhotse 2019’ bagi mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Selangor.

Beliau disambut isteri dan anak, selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah, serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Suliman Abd Rahman.

Melalui misi berkenaan, anak jati Batu Kurau, Perak itu melakukan pendakian selama 28 hari bermula 24 Ogos lalu membabitkan Gunung Stok Kangri setinggi 6,153 meter (m), Gunung CB14 (6,045m) dan Gunung CB13 (6,264m).

Khairil Aslan yang juga Ikon Anak Muda Gombak berkata, misi itu adalah permulaan untuk melakukan pendakian menawan puncak Gunung Everest dan Gunung Lhotse sekali gus.

Mengulas lanjut mengenai pendakian tahun depan, beliau berkata, keadaan bentuk muka bumi di utara India ialah antara cabaran utama bakal ditempuhinya.

“Saya pernah melakukan pendakian di Nepal pada 2015 dan jika dibandingkan, cabaran laluan pendakian di utara India adalah lebih sukar.

“Dari segi cuaca pula, kali ini tidak ada masalah kerana pada 2015, saya pernah berdepan perubahan cuaca hingga negatif 40 darjah Celsius yang amat sejuk melampau,” katanya – berita harian