IPOH,1 DIS: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) hari ini melancarkan kad prabayar Visa GoPayz-MAIPk (Ta’awun) yang menawarkan kemudahan kewangan digital patuh syariah.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrul Azam Shaari berkata, kad prabayar itu dikeluarkan dengan kerjasama jenama e-wallet terkenal, GoPayz.

Katanya, MAIPk mengambil pendekatan memperkenalkan kad prabayar itu bagi membantu masyarakat Islam berbelanja dan melaksanakan muamalah secara mudah.

“Inisiatif baharu ini memfokuskan semangat ta’awun iaitu bantu-membantu, yang mana MAIPk dan masyarakat saling bekerjasama untuk mengumpulkan dana wakaf tunai dan mewujudkan projek wakaf yang berdaya saing.

“Ia dapat direalisasikan melalui setiap perbelanjaan di premis terpilih yang akan membolehkan pelanggan mengumpul mata ganjaran yang akan ditukarkan kepada hasil wakaf tunai,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah Shahrul, pelancaran produk itu juga tepat pada masanya ketika negara sedang berusaha meminimumkan pergerakan fizikal dan mengutamakan transaksi dalam talian.

Katanya lagi, kad itu berfungsi seperti kad debit bank yang membolehkan para pelanggan berbelanja di semua premis yang mempunyai terminal kad VISA di dalam dan luar negara serta membuat pengeluaran tunai di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Selain itu, katanya, kad prabayar itu turut dilengkapi dengan ciri keselamatan mengikut peraturan yang digariskan oleh Bank Negara Malaysia.

“Ianya dipertingkatkan lagi melalui aplikasi GoPayz yang membenarkan pemegang kad menyekat dengan serta-merta pengunaan kad melalui aplikasi GoPayz sekiranya berlaku kehilangan kad atau terdapat sebarang transaksi yang meragukan,” katanya.

Pengguna boleh membayar pelbagai perkhidmatan MAIPk seperti bayaran zakat, wakaf tunai dan derma serta perbelanjaan bulanan seperti bil utiliti dan membeli belah melalui medium aplikasi e-wallet GoPayz.

Pengguna juga boleh mendapat mata ganjaran GoPointz bagi transaksi zakat, wakaf tunai dan derma MAIPk serta mata ganjaran untuk perkhidmatan oleh syarikat atau premis lain yang terpilih.

Sehingga 31 Disember ini, pemohon Kad Prabayar Visa GoPayz-MAIPk (Ta’awun) boleh mendapat kad itu secara percuma di semua cawangan MAIPk seluruh Negeri Perak terhad kepada 2,500 unit terawal.

Mereka juga layak menikmati 100 peratus pulangan tunai (cashback) fi kad berjumlah RM16 apabila memohon melalui aplikasi GoPayz atau laman web GoPayz terhad kepada 1, 500 kad terawal.

Untuk maklumat lanjut mengenai produk dan perkhidmatan GoPayz, sila layari www.gopayz.com.my atau hubungi khidmat pelanggan GoPayz di talian +6018 388 3388.