IPOH, 25 DIS : Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) hari ini menyerahkan bantuan zakat kepada 26,771 penerima melibatkan peruntukan sebanyak RM7.46 juta.

Bantuan zakat itu diserahkan kepada 10 pihak antaranya Jabatan Pelajaran Negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO)  Islam negeri Perak, rumah anak yatim, pertubuhan amal dan Majlis Kanser Negara (Makna).

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari berkata, bantuan zakat itu bagi memastikan anak-anak asnaf dan anak-anak yatim tidak tercicir dalam pembelajaran kerana tiada sumber kewangan.

Katanya, MAIPk mengambil peranan bagi memastikan semua golongan yang menerima wang zakat mendapat manfaat dan menggunakan wang tersebut dengan hikmah.

“Bagi bantuan persekolahan, kali ini kita menambah sebanyak RM700,000 untuk membekalkan kit kesihatan pelajar meliputi cecair pembasmi kuman kepada kira-kira 23,000 penerima.

“Bantuan ini diserahkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri yang kemudian membekalkan kit tersebut kepada pelajar asnaf yang disenaraikan,” katanya dalam  sidang akhbar Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan 2021 dan Sumbangan Kebajikan MAIPk di Hotel Casuarina di sini semalam.

Sumbangan kepada para penerima disempurnakan oleh Yang DiPertua MAIPk, Tan Sri Dr. Wan. Mohd. Zahid Mohd. Noordin.

Antara yang menerima sumbangan ialah wakil rumah anak-anak yatim melibatkan sumbangan sebanyak RM98,000 bagi bantuan persekolahan dan RM149,000 bantuan kewangan.

Sebanyak 28 NGO Islam negeri Perak pula menerima sumbangan berjumlah RM280,000. – UTUSAN ONLINE