IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkuatkuasa serta merta.

Ahmad Faizal dalam kenyataan pada Isnin berkata pelantikan beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gerik dibuat bagi menggantikan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.

“Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid kini diberikan amanah baharu bagi menguruskan hal ehwal berkaitan tanggungjawab saya selaku Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan lain-lain urusan di peringkat Persekutuan.

“Pelantikan Datuk Aznel sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar Perak yang baharu juga adalah manifestasi komitmen saya kepada kerjasama dengan UMNO dalam kerajaan Perikatan Nasional bagi memastikan tadbir urus dapat dijalankan dengan lebih berkesan dan utuh,”katanya.

Beliau yakin pelantikan itu akan mengukuhkan lagi hubungan baik dan kerjasama yang sedia terjalin di antara kepimpinan BERSATU, UMNO dan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional.