IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melancarkan siaran radio sendiri dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada wargakota Ipoh.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, MBI merupakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di negeri Perak yang melaksanakan Radio MBI.

Menurut beliau, Radio MBI telah dimulakan sejak Jun 2016 bagi mendekatkan hubungan secara langsung dan tanpa sempadan dengan wargakota Ipoh.

“Wargakota Ipoh boleh mendengar Radio MBI dengan cara melayari laman web MBI, www.mbi.gov.my, radio.mbi.gov.my atau memuat turun aplikasi mudah alih Radio MBI di Goggle Play dan App Store,” katanya ketika berucap pada mesyuarat penuh Majlis bulan Mac di sini pada Khamis.

Beliau memberitahu, pelbagai rancangan telah disiarkan dalam Radio MBI seperti Teh Tarik Roti Canai, Hello Ipoh, Santai Petang dan Relax Jom dari hari Isnin hingga Jumaat jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Di samping itu, katanya terdapat lima penyampai radio iaitu DJ Iz, DJ Shah, DJ Elly, DJ Fazz dan DJ Nizam dan penyampai TV, VJ Nana yang diuruskan oleh Penerbit, DJ Riz.

“Semoga pengwujudan Radio MBI akan memberi lebih banyak platform dan pilihan untuk menjalinkan kerjasama yang positif dengan wargakota Ipoh,” ujar beliau.