Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Majlis Belia Negeri Perak hari ini muncul sebagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) pertama yang melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Presidennya, Aswannudin Hariffudin berkata, langkah itu adalah komitmen daripada seluruh gabungan anak muda sekitar negeri yang merangkumi 34 pertubuhan belia di pelbagai peringkat.

Menurutnya, inisiatif tersebut adalah susulan daripada langkah kerajaan negeri Perak yang serius dalam mengekang dan membanteras rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan seterusnya memperkasa integriti.

“Tindakan kerajaan negeri dalam menyahut seruan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk menjalankan sebarang aktiviti dan urusan secara telus dan penuh integriti merupakan teras dan teladan kepada kami di Majlis Belia Perak.

“Selain itu, kami amat mengkagumi tindakan SPRM Perak di bawah seliaan pengarahnya, Datuk Nooraziah Abdul Manaf yang bergiat aktif dalam menjalankan jelajah kempen kesedaran bagi membudayakan sifat integrity di kalangan semua agensi di seluruh negeri sejak dua tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menandatangani lafaz IBR tersebut bersama SPRM Perak di BIlik Seminar Kompleks Belia dan Sukan pada petang Sabtu.

Katanya, atas dasar kepercayaan Majlis Belia Negeri Perak juga diiktiraf sebagai Duta Belia SPRM Perak dan pihaknya amat menghargai tanggungjawab yang diberikan itu.

“Kami akan terus melaksanakan segala jenis program kesedaran bagi mendukung hasrat SPRM untuk mewujudkan sebuah komuniti yang kaya dengan elemen murni, pembudayaan nilai telus dan amanah serta amalan yang jujur setiap hari,” katanya lagi.