PARIT BUNTAR,31 DIS: Menjelang tahun baharu 2021, Majlis Daerah Kerian (MDK) akan lebih serius dalam menangani masalah banjir kilat yang sering mendatangkan masalah kepada penduduk dan pengguna jalan raya khususnya di pusat bandar.

Setiausahanya, Norhafisah Mohamad berkata pihaknya telah pun mendapat kelulusan peruntukan untuk membina longkang baharu di Jalan Laksamana, Taman Kerian Tambahan bagi mengatasi masalah banjir kilat yang kerap berlaku di sekitar hentian raya dan pusat bandar.

“Melalui peruntukan dan kelulusan itu antara skop kerja yang akan dilakukan nanti adalah membina longkang jenis konkrit u-drain (1.5m x 1.5m) sepanjang 100m, pam air dan flap gate.

“Dijangka dengan pelaksanaan kerja-kerja itu dapat mengurangkan peratusan banjir kilat yang berlaku di sekitar pusat bandar.

“Selain itu sikap dan mentaliti penduduk yang tidak bertanggungjawab yang sering membuang sampah terutamanya di dalam longkang dan sungai sehingga menyebabkan aliran air tersekat juga merupakan penyumbang utama kepada masalah banjir yang berlaku disini,” katanya.

Dalam pada itu Ahli Majlis MDK, Md Nayan Salleh, berkata, tinjauannya bersama kakitangan MDK di beberapa kawasan di pusat bandar mendapati keadaan geografi daerah Kerian di bawah paras laut, juga menjadi penyebab utama air yang bertakung di beberapa kawasan tidak dapat disalurkan terus ke sungai.

Bagaimanapun beliau yang mewakili penduduk di Parit Buntar menzahirkan ucapan terima kasih kepada MDK yang sering mencari cara menyelesaikan isu banjir kilat di kawasan itu, yang menghantui penduduk sejak tahun 2000 lagi.

Beliau berkata satu produk baru berupa perangkap sampah akan diperkenalkan jika diperlukan pihak MDK bagi mengatasi masalah tersebut.