KUALA KANGSAR: Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa berkenan berangkat menghadiri majlis bacaan Yassin, kesyukuran dan doa selamat, sempena sambutan ulangtahun keputeraan ke-62 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Masjid Ubudiah di sini, hari ini.

Turut berangkat Raja Di-Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris.

Hadir sama, Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman, barisan Exco kerajaan negeri dan wakil-wakil rakyat.

Majlis yang bermula kira-kira jam 12 tengahari itu dipimpin Timbalan Mufti Perak, Ustaz Zamri Hashim.

Majlis diikuti dengan solat Jumaat yang didahului dengan khutbah khas sempena sambutan ulangtahun keputeraan Sultan Perak yang bertajuk Raja dan Rakyat Sehati Sejiwa.

Selesai solat Jumaat, diteruskan dengan jamuan rakyat yang diadakan di pekarangan Masjid Ubudiah.

Kira-kira 1,000 orang menghadiri majlis itu, yang merupakan acara tahunan sempena sambutan ulangtahun keputeraan Sultan Perak yang diputuskan pada Jumaat pertama bulan November.

Majlis yang sama turut diadakan serentak di masjid-masjid seluruh negeri Perak.