TAIPING: Susulan penularan wabak COVID-19, Majlis Perbandaran Taiping (MPT) memperkenalkan program ‘JOM PLOG’ bagi menggantikan program ‘plogging’ dalam kumpulan yang besar.

‘JOM PLOG’ adalah satu inisiatif mengalakkan orang ramai untuk melakukan aktiviti riadah sama ada berjogging ataupun berjalan sambil mengutip sampah secara sukarela.

Menurut kenyataan MPT, aktiviti itu bertujuan untuk menyemai sikap mengambil berat tentang kebersihan persekitaran serta mendidik masyarakat supaya ringan tulang dalam melaksanakan kerja-kerja amal dan sukarela.

“Taiping merupakan destinasi tumpuan pelancong dan pastinya kebersihan persekitaran perlu diberi perhatian.

“Dalam suasana kita disaran untuk menjaga prosedur operasi standard (SOP) susulan usaha menyekat penularan COVID-19, MPT mengambil alternatif dengan menganjurkan JOM PLOG bagi mengantikan aktiviti ‘plogging’ yang diadakan secara mingguan sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertengahan Mac lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, ‘JOM PLOG’ tidak perlu mengumpul jumlah peserta yang ramai di lapangan kerana peserta yang mendaftar akan melakukan plogging mengikut kelapangan masing-masing.

“Peserta boleh memilih tarikh dan masa sendiri untuk JOM PLOG serta boleh memilih satu dari empat lokasi plogging yang disenaraikan,” ujarnya.

Menurutnya, peserta boleh memilih untuk berseorangan atau pun berkumpulan (tidak melebihi empat orang) dan mendaftar secara mengimbas kod QR yang sedia ada.

Katanya, peserta yang telah berdaftar dan berjaya menghabiskan sesi JOM PLOG perlu berswafoto bersama-sama dengan bungkusan sampah yang telah dikutip berlatarkan ‘backdrop’ yang disediakan di check point.

Tambahnya, foto tersebut perlu hantar ke Facebook Program Inisiatif Komuniti Taiping atau PINK sebagai bukti dan bagi membolehkan peserta membuat tuntutan diskaun 50% tiket masuk ke Zoo Taiping & Night Safari.

Orang ramai boleh mendapati kod QR untuk diimbas di Facebook dan Instagram MPT serta di beberapa premis produk pelancongan di bandar Taiping.

Pendaftaran boleh dibuat sekarang sehingga hari terakhir JOM PLOG iaitu 30 Oktober 2020.

Penyertaan adalah percuma. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Bahagian Korporat MPT di talian 05 8080 777 pada hari dan waktu pejabat.