IPOH: Majoriti ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih berdiri teguh dan yakin dengan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden yang tetap berpegang teguh dengan prinsip-prinsip asal penubuhan parti ini.

Pada masa yang sama, parti itu akan terus melipat-gandakan usaha menarik ahli-ahli baru di seluruh negara.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, merek mendapati, rakyat semakin tertarik dengan gaya kepimpinan Muhyiddin Yassin dan ingin turut serta dalam perjuangannya.

“Bersatu juga sedang dalam proses pemilihan parti dan ini juga adalah sebahagian daripada usaha untuk memperkuatkan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas dakwaan wujud usaha untuk menarik ahli-ahli Bersatu untuk keluar daripada parti itu.

Ahmad Faizal berkata, beliau menghormati keputusan mereka yang keluar daripada parti, walaupun pada ketika Bersatu mendapat sambutan yang baik di kalangan rakyat.

“Perlu saya tegaskan bahawa tujuan kita menubuhkan parti Bersatu adalah untuk mengambil bahagian dalam proses pilihanraya dan menubuhkan kerajaan. Kini, Presiden parti adalah pemimpin utama Kerajaan.

“Oleh itu, ini adalah masanya untuk kita memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat melalui kuasa pentadbiran Kerajaan,” ujarnya.

Beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Perak melahirkan rasa pelik bagi mereka yang meninggalkan parti kononnya atas nama meneruskan perjuangan menentang kleptokrasi dan rasuah.

Katanya, beliau sentiasa menyanjungi dan berterima kasih kepada bekas ahli Bersatu di atas segala kebaikan dan pengorbanan yang pernah dicurahkan kepada parti ini namun mengharapkan agar jangan terlalu berpolitik hingga merosakkan silaturrahim.

“Sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, saya ingin menegaskan yang kekuatan Bersatu masih utuh dan sama sekali tidak terkesan dengan sebarang cubaan untuk menggugat kestabilan parti,” tambahnya.

Ahmad Faizal turut menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Muhyiddin untuk terus menerajui Bersatu dan meneruskan agenda parti di atas semangat Bersatu, Beramanah dan Bermaruah.

Beliau juga juga menyeru semua ahli parti supaya memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Presiden untuk terus menumpukan usaha membela nasib rakyat dan memulihkan ekonomi negara tatkala negara masih berperang melawan pandemik COVID-19.